Thursday, April 17, 2008

Malu Dan Iman - Teman Seiring Dan Sejalan

Seringkali kita mengungkapkan perkataan malu, namun sejauh manakah kita cuba memahami dan menghayati maksud yang tersirat di sebalik perkataan malu ini. Siapakah yang harus dipersalahkan jika generasi hari ini terutamanya remaja wanita semakin hari semakin tipis sifat malunya.

Sabda Nabi saw: "Setiap akhlaknya dan (punca) akhlak Islam itu adalah al-haya' (malu)." (Riwayat Malik, Ibn Majah dan Baihaqi)

Sabda Rasulullah saw lagi: "Bahawasanya setengah yang didapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu ialah apabila engkau tidak malu, maka kerjakanlah yang engkau kehendaki." (Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas cukup untuk dijadikan pedoman dan pengukur nilai akhlak seseorang dari segi perbuatannya. Alangkah beruntungnya orang yang memelihara kesucian dirinya di sisi Allah. Lebih-lebih lagi bila sifat malu ini ada pada remaja kita. Hari ini remaja kita amat terdedah dengan nilai-nilai buruk yang kadang-kadang sudah dianggap biasa. Berpelukan, berciuman, berpegangan tangan dan bergurau senda yang melampaui batas sudah menjadi kebiasaan pada sesetengah remaja yang kurang didikan agama.

Rumah merupakan sekolah terawal dalam membentuk peribadi anak-anak, termasuklah dalam menanamkan sifat malu pada diri mereka. Para guru juga memainkan peranan penting dalam memupuk sifat malu kerana sekolah adalah rumah kedua pada anak-anak.

Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Malu dan iman itu adalah teman seiring jalan, jika yang satu diangkat nescaya terangkatlah pula satu lagi." (Riwayat Muslim)

Malu ialah satu sifat atau perasaan yang menimbulkan keengganan melakukan sesuatu perkara yang tercemar atau kurang sopan. Oleh itu, orang yang mempunyai sifat malu sentiasa memelihara maruah dan harga dirinya. Dia dapat menahan dirinya dari melakukan perkara-perkara yang boleh membuatkan maruah dan harga dirinya tercemar.

Persekitaran yang rosak menghakis sifat malu. Kelucahan filem, iklan modeling, kelucahan dalam pergaulan, berpakaian, kelakuan dan kelucahan dalam bahasa dan dalam nyanyian adalah bersumber dari syaitan yang menghancurkan sifat malu dan kesucian manusia. Contoh yang jelas ialah kelucahan filem yang memaparkan kisah percintaan sepasang kekasih dalam filem seolah-olah bila sudah menjadi kekasih maka berpelukan dan berpegangan tangan sudah menjadi halal. Pendedahan aurat amatlah jelas sekali. Maka secara otomatiknya remaja-remaja yang terdedah dengan filem tersebut akan mengambil apa-apa sahaja tanpa tapisan.

Sekarang amatlah jelas, para remaja kita sudah tidak segan dan silu lagi berdua-duaan di taman-taman bunga, tempat-tempat rekreasi dan di pusat membeli-belah. Ibubapa dan masyarakat sekeliling hanya memerhati sahaja tanpa apa-apa teguran. Ini menjadikan seolah-olah perkara itu tidak salah lagi pada pandangan masyarakat, pandangan agama lebih-lebih lagi diketepikan.

Islam tidak memandang ringan terhadap hubungan yang berpoya-poya di antara lelaki dan perempuan. Islam menganggap bahawa hubungan sebegini adalah diantara bahaya yang mengancam tamadun manusia ke arah keruntuhan dan kemusnahan. Hubungan ini diharamkan oleh Islam secara mutlak dan dikira sebagai jenayah yang ditentukan hukuman berat ke atas mana-mana anggota masyarakat yang melakukannya. Ini untuk menjamin hubungan berpoya-poya di dalam masyarakat tidak tersebar yang mana akhirnya menumbangkan dan menghapuskan kemajuan manusia.

Apa yang disaksikan oleh kedua mata dan didengar oleh kedua telinga akan berjinak di dalam hati. Untuk memelihara hati dari sifat keji, Islam menyuruh lelaki menundukkan pandangan terhadap wanita, dan wanita juga menundukkan pandangan terhadap lelaki.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan (daripada yang haram) dan memelihara kehormatan mereka ." (An-Nur: 30)

Dan firmanNya: "Katakanlah kepada wanita yang beriman supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka ." (An-Nur: 31)

Para remaja wanita yang memelihara kesucian diri tidak berhias di luar rumah seperti wanita jahiliyyah. Tabarruj jahiliyyah ialah suka menunjuk-nunjuk kecantikan dan perhiasan diri. Di dalam Islam, kecantikan dan perhiasan diri adalah semata-mata untuk suami.

Sabda Nabi saw: "Mana-mana wanita yang memakai bau-bauan kemudian keluar lantas melintasi satu kaum (bukan mahram) agar mereka tercium bau harumnya, maka ia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandangnya itu adalah zina." (Riwayat Ahmad, at-Tabarani, Baihaqi dan al-Hakim)

Wanita yang mempunyai sifat malu dan memelihara kesuciannya akan menutup aurat mereka dan membataskan pergaulan mereka dengan lelaki yang tidak mahram. Para remaja hendaklah yakin dengan janji Allah bahawa sesiapa yang mengotori diri pasti akan rugi di dunia dan di akhirat. Oleh itu, hendaklah sentiasa berdoa dengan doa Rasulullah saw:

"Ya Allah, berilah aku nampak kebenaran sebagai kebenaran dan berupaya mengikutinya, dan nampak kejahatan sebagai jahat dan berupaya menjauhinya."

Bagi seorang wanita yang dapat memelihara sifat malunya, di situ terletak daya penarik pada dirinya. Hendaklah dia kekalkan sifat malu itu, walau sudah bersuami. Malu seorang gadis adalah benteng maruah dan kehormatannya di sisi ayah dan ibunya. Manakala malu seorang isteri adalah maruah dirinya di sisi suami tersayang.

Perhatikanlah kata-kata pujangga Maulana Iqbal: "Jika ingin melihat keadaan sesebuah masyarakat pada masa kini lihatlah pada akhlak golongan lelakinya pada masa kini. Tetapi jika ingin tahu keadaan masyarakat itu pada masa hadapan, lihatlah pada akhlak golongan perempuannya pada masa kini."

Wanita yang berakhlak adalah mereka yang tidak mahu melihat masyarakat daripada terus dihimpit dengan kelucahan dan kehinaan.

sumber : www. pewaris. com

No comments: